5 JANUARI 2014 (AHAD) : SK Pengkalan Chepa berbesar hati menerima kunjungan khidmat bantu oleh En. Zaidi Bin Abdullah, Pegawai LINUS, PPD Kota Bharu selaku Mentor Kecemerlangan UPSR SKPC bagi tahun 2014 ini. Satu perjumpaan khas telah diadakan bersama Guru Besar, Penolong Kanan Pentadbiran dan semua guru yang mengajar murid Tahun 5 dan 6. Agenda utama perjumpaan ini adalah untuk membuat kaji selidik mengenai keputusan UPSR 2013 dari sudut kekuatan dan kelemahan untuk dipertingkatkan sebagai persediaan menghadapi UPSR 2014. En. Zaidi menyarankan agar segala perancangan peningkatan kecemerlangan murid Tahun 6 hendaklah bermula dari Tahun 5 lagi.
Beliau juga memberi galakan kepada guru yang merancang program kecemerlangan agar aktiviti kecemerlangan murid Tahun 5 biar hampir selari dengan aktiviti kecemerlangan murid Tahun 6. Setiap Unit Panitia bagi subjek teras telah membentangkan laporan akademik masing-masing yang diwakili oleh Pn. Anita untuk subjek Bahasa Inggeris, En. Abdullah untuk subjek Sains, Pn. Che Kamariah untuk subjek Bahasa Melayu dan Pn. Rosnani bagi subjek Matematik. Di akhir sesi bual bicara dan perbincangan selama hampir 2 jam itu, En. Zaidi menegaskan keterlibatan guru subjek elektif lain terutamanya Guru Pendidikan Islam adalah amat perlu untuk menerapkan nilai-nilai positif dalam setiap agenda kecemerlangan sekolah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan